Pilih Bahasa

DUA DIPERCAYAI AHLI KUMPULAN MILITAN ANTARA 11 INDIVIDU MENGAKU SALAH MASUK NEGARA SECARA HARAM

Oleh Mohd Adam Arinin

Tertuduh, Abdul Abrera diiring anggota polis dari Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu memasuki ke negara secara haram. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dua individu yang dipercayai terbabit kegiatan kumpulan militan pengganas dijatuhi hukuman penjara masing-masing empat dan lima bulan selepas mengaku bersalah masuk ke negara ini secara tidak sah.

Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz turut mengenakan hukuman satu kali sebatan terhadap kedua-dua tertuduh yang berasal dari Filipina.

Tertuduh pertama Abdul Abrera, 39, masuk ke negara ini sejak tahun 1995 dan ditahan 10 November lalu di Kinarut.

Manakala tertuduh kedua Majid Abu Bakar, 35, ditahan 8 November lalu di Ranau selepas masuk ke negara ini kira-kira dua bulan lalu.

Tertuduh, Majid Abu Bakar diiring anggota polis dari Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas keluar selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Kedua-dua mereka yang bekerja sebagai buruh binaan itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Imigresen 1963 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 dan penjara maksima lima tahun.

Dalam mahkamah sama, seramai 11 warga asing turut dijatuhi hukuman penjara empat dan lima bulan selepas mengaku bersalah tinggal secara haram di negara ini.

Pendakwaan dijalankan pegawai pendakwa Asisten Superintendan Sabrina Jinius manakala kesemua tertuduh yang berusia lingkungan 18 hingga 55 tahun tidak diwakili peguam. -SabahNewsToday