Pilih Bahasa

Dua ditahan, Polis Tawau selesai tujuh kes penyeluk saku

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis Tawau menyelesaikan sebanyak tujuh kes jenayah penyeluk saku selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di tepi jalan Kampung Tanjung Batu, dekat sini Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata hasil maklumat daripada orang awam, dua suspek berusia 52 dan 65 tahun itu ditahan di tepi jalan pukul 2.30 petang.

Beg salah seorang mangsa yang ditoreh suspek menggunakan pisau. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Ketika kejadian, kita mendapati suspek sedang mencari sasaran mangsa yang menggunakan beg tangan di tepi jalan kawasan berkenaan.

“Selepas ditahan, suspek mengaku menjalankan kegiatan menoreh beg mangsa untuk mencuri dan aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Beliau berkata modus operandi bagi kes ini adalah suspek akan menggunakan pisau untuk memotong beg mangsa.

Beg mangsa yang ditoreh suspek menggunakan pisau. Gambar SNT/Ihsan Polis

“Suspek akan memotong beg mangsa menggunakan pisau dan wanita adalah sasaran utama suspek terutama yang menggunakan beg tangan.

“Ujian saringan air kencing mendapati salah seorang daripada suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai membantu pihak polis mengesan seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.

“Kedua-dua suspek ditahan sehingga Rabu ini dan disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” jelasnya.

Sementara itu, dalam kes berlainan Peter berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 39 tahun kerana disyaki terbabit kes pecah rumah di tepi jalan Dunlop, Sabindo pada 11.50 pagi Sabtu lalu.

Peter (kiri) menunjukkan televisyen 60 inci yang dicuri suspek ketika melakukan pecah rumah baru-baru ini. Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

“Polis turut merampas sebuah televisyen berukuran 60 inci yang dicuri oleh suspek. Kita percaya dengan tertangkapnya suspek terbabit berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di daerah ini.

“Suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, curi dan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” katanya. – SabahNewsToday