Pilih Bahasa

Dua ditahan terbabit judi loteri dan wah hui

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Telefon bimbit, alatan yang digunakan dalam judi loteri dan wang tunai antara yang dirampas dalam tangkapan kes judi. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua individu termasuk seorang wanita yang sedang leka menjalankan kegiatan perjudian loteri tanpa lesen dan ‘wah hui’ ditahan di sebuah premis makanan, di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kedua-dua suspek tempatan berusia 21 dan 22 ditahan sepasukan polis pukul 2.30 petang.

“Ketika serbuan dijalankan, kita berjaya merampas peralatan judi termasuk telefon bimbit, sekeping kertas mengandungi pantun bahasa melayu, resit pembelian loteri dan wang tunai.

“Kedua-dua suspek direman empat hari hingga esok untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya ketika ditemui dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau hari ini.

Tambah beliau dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, pihaknya berjaya menyerbu 76 lokasi judi haram sekitar daerah ini.

“Hasil serbuan itu, seramai 185 individu diperiksa. 105 daripadanya ditahan kerana terbabit dalam kes judi,” jelasnya. – SabahNewsToday