Pilih Bahasa

Dua geng pecah rumah dan samun tumpas

Oleh Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Dua geng pecah rumah dan samun yang aktif di sekitar daerah ini berjaya ditumpaskan selepas penahanan empat lelaki termasuk ketua geng terbabit dalam beberapa siri serbuan berasingan, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata tangkapan pertama membabitkan tiga ahli kumpulan pertama yang dikenali Geng Carlsen.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superitendan Mohd Haris Ibrahim bersama pegawainya menunjukkan barangan yang disyaki dicuri pada sidang media di IPD Penampang. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Geng ini (Carlsen) ini telah memecah masuk sebuah rumah ibadat di Kampung Hungab, jam 11.20 malam, pada 8 Mei yang lalu.

“Beberapa peralatan seperti gitar elektrik, pembesar suara, tabung berisi wang sebanyak RM1,000, alat muzik telah dicuri. Bertindak daripada maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang telah menahan seorang suspek ahli kumpulan dan merampas beberapa barangan hasil curi,” katanya pada sidang media di IPD Penampang, hari ini.

Menurut Mohd Haris, hasil daripada soal siasat yang dijalankan keatas suspek pertama, seorang lagi ahli kumpulan disyaki ketua geng itu turut ditahan.

“Pada keesokkan hari, pihak kita berjaya menahan suspek ketiga dan turut menemui sebanyak 31 peralatan elektronik termasuk komputer riba dan telefon bimbit,” tambahnya.

Jelas Mohd Haris, penangkapan suspek ketiga ini juga turut dipercayai berhasrat untuk membuka kedai menjual telefon berdasarkan penemuan lebih 20 unit telefon bimbit pelbagai jenama.

“Pihak polis turut menemui semua barangan yang disyaki dicuri di rumah ibadat itu dan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM16,500,” katanya.

Kesemua suspek yang ditahan berumur 36, 37, dan 43 tahun dan akan disiasat mengkit Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis daerah ini juga turut berjaya menangkap ketua ahli kumpulan Pang Loong yang dikesan melakukan jenayah samun bersenjata.

“Kita syaki suspek yang berusia 21 tahun bersama dua rakannya terbabit dengan kes samun bersenjatakan oarang pada 20 April lalu.

“Pada 12 Mei lalu, ketua ahli kumpulan berkenaan berjaya ditahan bersama dua lagi kumpulan oleh polis dari IPD Kota Kinabalu,” jelasnya.

Pihak polis juga turut merampas sebilah parang berukuran 43 sentimeter yang dipercayai digunakan ketika melakukan jenayah samun.

“Siasatan masih dijalan bagi mengesan ahli kumpulan yang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan dan bersenjatakan parang,” katany. -SabahNewsToday