Pilih Bahasa

Dua gol dari Junior bantu Tambadau Sabah tewaskan Pulau Pinang

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Dua gol dari penyerang Luiz Carlos Junior memberi kemenangan selesa kepada skuad Tambadau Sabah mengatasi Pulau Pinang, 2-0 di Stadium Likas di sini malam tadi.

Sabah tampak garang sebaik wisel dibunyikan melalui gerakan kemas pemain hadapan Junior, Paunovic Roduljub, Luka Milunovic, Maxsius Musa dan Sabri Sahar.

Luiz Carlos Junior (7) meraihkan jaringan gol pertamanya. Gambar SNT/Ihsan Safa

Penjaga gawang Pulau Pinang
Muhammad Hazrull Hafiz Zulkifli pula jelas sekali goyah pada perlawanan itu.

Muhammad Hazrull hampir tertewas dengan cubaan dari Junior pada minit kedua dan hanya mampu menepisnya untuk memberi tendangan sudut kepada Sabah.

Pakar tendangan sudut, Sabri Sahar kemudian mengambil sepakan itu dan hantaran cantiknya menuju tepat kepada Junior yang menanduk bola dengan kencang mengenai tanah dahulu sebelum masuk ke dalam gawang Pulau Pinang menjadikan kedudukan 1-0 pada minit ketiga.

Pasukan tuanrumah mengawal permainan dan terus membuat beberapa serangan berbahaya tetapi gagal menghasilkan sebarang jaringan ataupun dihampakan oleh perangkap off side Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Pulau Pinang berjaya membuat serangan balas dan hampir menjaringkan gol melalui dua percubaan baik pada minit ke-15 dan 23 namun dikecewakan oleh ketangkasan penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim.

Pada minit ke-15, pertahanan Sabah, tanpa kelibat Park Taesu yang digantung satu perlawanan setelah mengumpul tiga kad kuning, dipecahkan oleh hantaran lintang dari Ndumba Makeche.

Hantaran itu disambar oleh Muhammad Nurfais Johari yang langsung tidak dijaga di sebelah kanan tetapi Rozaimie bertindak cemerlang menampan cubaan itu.

Pada minit ke-23, Rozaimie sekali lagi menyelamatkan Sabah dengan menepis rembatan kencang dari jauh pemain Pulau Pinang, Mohd Aziz Ismail.

Seminit kemudian Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating terpaksa mengeluarkan Sabri yang mengalami kecederaan dipercayai dibahagian lutut dan memasukkan Ricco Nigel Milus.

Kedudukan kekal 1-0 separuh masa pertama.

Pemain Pulau Pinang cuba mengekang pergerakan Luiz Carlos Junior (7) dalam perlawanan Liga Premier Malaysia di Stadium Likas. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada babak kedua, skuad Tambadau Sabah sekali lagi bermula dengan garang dan lebih 2,000 penyokong mereka tidak perlu menanti lama untuk meraihkan gol kedua.

Pada minit ke-52, Paunovic yang dibayangi pemain pertahanan Pulau Pinang menerima bola di dalam kotak penalti bijak membuat hantaran kepada Junior di sebelah kanan.

Berdepan dengan hanya penjaga gol yang sedang meluru ke arahnya Junior cepat menguis bola melepasi bahagian bawah badan penjaga gol Pulau Pinang untuk menjaring gol kedua peribadinya dan untuk Sabah.

Sepuluh minit terakhir perlawanan, Junior sekali lagi berjaya meletakka bola ke dalam gawang Pulau Pinang namun penjaga garisan terlebih dahulu mengangkat bendera off side.

Permainan Pulau Pinang bertambah kucar kacir pada minit-minit akhir akibat serangan bertali arus dari Sabah namun peluang gagal disempurnakan sehingga wisel penamat.

Perlawanan malam tadi merupakan yang pertama bagi Sabah dan Pulau Pinang setelah Liga Premier Malaysia berehat sepanjang bulan Mac.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang menyaksikan skuad Tambadau Sabah mengambil tempat JDT II sebagai pendahulu Liga Premier dengan 14 mata.

Pasukan JDT II hanya mampu seri 1-1 dalam perlawanan menentang Sarawak semalam.-SabahNewsToday