Pilih Bahasa

Dua guru wanita ‘dijemput’ kakitangan HQE jalani kuarantin di Pusat Kuarantin Kota Kinabalu

Oleh Sabah News Today

Kenderaan ambulan yang dinaiki dua wanita yang merupakan kontak rapat dari seorang pesakit yang disahkan dijangkiti wabak Covid-19 berada di perkarangan Pusat Kuarantin Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PUTATAN: Dua wanita dipercayai guru daripada Johor yang menginap di sebuah hotel di daerah ini ‘dijemput’ oleh kakitangan Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin Kota Kinabalu, semalam.

Ini selepas kedua-dua guru ini yang berusia lingkungan 20-an dan 30 tahun mendapat kontak rapat dengan seorang lelaki yang dijangkiti wabak Covid-19.

Sumber yang boleh dipercayai berkata, kedua-dua wanita itu datang ke Sabah untuk bercuti pada 17 Mac lalu, sempena cuti persekolahan selama seminggu.

Kakitangan hospital dilihat membawa bungkusan plastik yang dipercayai milik kedua-dua wanita berkenaan untuk diperiksa. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Katanya ketika bercuti di Kundasang pada 18 Mac lalu, kedua-dua mereka dihubungi oleh pihak kesihatan untuk segera datang ke hospital atau klinik di Kota Kinabalu bagi menjalani pemeriksaan selepas didapati mempunyai kontak rapat dengan lelaki dijangkiti Covid-19.

“Selepas menjalani pemeriksaan, kedua-dua mereka menjalani kuarantin di sebuah hotel di Putatan.

“Disebabkan tempoh masa menginap dihotel itu tamat, mereka kemudian menghubungi pihak kesihatan untuk dibawa ke pusat kuarantin di Kota Kinabalu,” katanya.

Dua wanita yang dipercayai guru dilihat keluar dari sebuah hotel di Putatan untuk menaiki kenderaan ambulans dan akan ditempatkan di Pusat Kuarantin Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurutnya, berikutan itu kakitangan kesihatan yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) datang bilik penginapan mereka dan membawa kedua-dua wanita terbabit.

“Dua kakitangan HQE yang lengkap memakai PPE mengiringi kedua-dua wanita itu masuk ke dalam kenderaan ambulans.

“Kedua-dua wanita itu dibawa ke pusat kuarantin Kota Kinabalu bagi menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya. – SabahNewsToday