Pilih Bahasa

Dua ibu tunggal antara 14 ditahan AADK Keningau

Oleh Alfred Petrus

KENINGAU: Dua orang ibu tunggal antara 14 individu ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Cegah yang dijalankan pada lewat malam pada Khamis.

Ketua Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin @ Azmi berkata ketika operasi berkenaan, kedua-dua ibu tunggal berkenaan dipercayai masing-masing mempunyai tanggungan tiga dan seorang anak.

Ibu tunggal yang ditahan pihak berkuasa. Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

Tambahnya dalam operasi itu, kesemua tangkapan gagal ujian saringan dadah jenis Methamphetamine ataupun syabu.

“Kesemua suspek yang berumur lingkungan 21 hingga 38 tahun berkenaan berjaya ditahan di beberapa buah kampung di sekitar Keningau.

Antara 14 individu yang berjaya ditahan. Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

“Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, sepanjang operasi berkenaan, terdapat seorang suspek lelaki yang cuba melarikan diri di samping bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kedua ibu bapanya yang cuba menenangkan beliau semasa ditahan dalam satu serbuan.

Ketika diberkas, suspek yang baru berusia 23 tahun itu turut bertindak aggresif terhadap pihak penguatkuasa yang bertugas.

Salah seorang lelaki yang ditahan. Gambar SNT/Ihsan AADK Keningau

Namun, berjaya ditenangkan setelah kedua-dua belah tangan suspek berjaya digari.

Azry berkata hasil siasatan awal mendapati suspek berkenaan baru sahaja selesaikan menggunakan syabu dalam beberapa jam sebelum serbuan dibuat oleh AADK.

Lantaran itu, AADK Keningau menyarankan kepada pihak keluarga dan masyarakat agar segera untuk melaporkan sebarang aktiviti penagihan dadah oleh ahli keluarga masing-masing dengan kadar segera sebelum keadaan semakin sukar dikawal dan memudaratkan keselamatan anggota keluarga yang lain.

Katanya tindakan setiap aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan oleh pihaknya bukan tujuan untuk menghukum semata-mata, tetapi bagi mewujudkan kesedaran di samping memastikan semua suspek dapat menjalani rawatan dan pemulihan dadah secara berterusan serta dapat berfungsi dengan baik dalam aktiviti bermasyarakat. -SabahNewsToday