Pilih Bahasa

Dua individu belasah seorang lelaki ditahan polis

Oleh Junaidi Ladjana

Rakaman dua lelaki membelasah mangsa yang dituduh kononnya merogol seorang wanita. – Gambar SNT/Ihsan media sosial

PAPAR: Dua individu yang bertindak memukul seorang lelaki kerana dituduh merogol seorang wanita hingga tular di media sosial sejak semalam, ditahan polis untuk siasatan.

Dalam rakaman video berdurasi 1.39 saat itu, mangsa berusia 30-an yang dibelasah kononnya dituduh merogol seorang wanita yang turut kelihatan di dalam rakaman berkenaan.

Bagaimanapun, difahamkan wanita terbabit tidak pernah membuat laporan polis berhubung tuduhan kejadian rogol berkenaan. 

Dua lelaki berusia 30-an yang membelasah mangsa itu juga dikatakan bukan ahli keluarga kepada wanita itu sebaliknya dipercayai hanya masuk campur dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata mangsa yang dibelasah membuat laporan polis sejurus selepas kejadian yang dilaporkan berlaku pada Rabu lalu.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan kecederaan yang dialami sebelum diambil keterangan untuk membantu siasatan.

“Kedua-dua lelaki yang membelasah mangsa sudah ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Tambah Batholomew, pihaknya juga sudah merujuk hasil siasatan kepada pejabat Timbalan Pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. -SabahNewsToday