Pilih Bahasa

“Dua jet pejuang Hawk TUDM buat pendaratan cemas di LTAKK”

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Gara-gara landasan di Pangkalan Udara Labuan diisytiharkan ‘Code Black’ atau ditutup, dua buah pesawat pejuang jenis Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan muatan persenjataan terpaksa melakukan ‘pendaratan cemas’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini, pagi tadi.

Kedua-dua pesawat buatan Britain dari No 6 Skuadron itu difahamkan baharu selesai melakukan latihan penembakan udara ke bumi (Air-to-Ground) di Lapang Sasar Udara (LASARUD) di Kota Belud, 100 kilometer dari sini.

Pesawat jenis Hawk 208 yang dikendali oleh Pegawai Memerintah No 6 Skuadron Leftenan Kolonel Mohammad Syagol “TURKS” Abdul Hamid melepaskan ‘drag parachute’ bagi membolehkan pesawat pejuang berkenaan berhenti sepenuhnya ketika simulasi pendaratan cemas pesawat itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesawat yang dilengkapi dengan pelancar roket jenis CRV 7 (Canadian Rocket Vehicle 7) itu bagaimanapun mendarat dengan selamat sekitar jam 10.40 pagi tadi.

Itu adalah senario latihan pendaratan cemas dua buah pesawat pejuang yang membawa muatan persenjataan membabitkan TUDM dengan agensi berkaitan di lapangan terbang awam seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Pegawai Staf 2 Pengurusan Ruang Angkasa (Kawalan Lalulintas Udara) Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) Mejar Mohd Husaini Kamaruddin TUDM berkata latihan ini merupakan latihan julung kali dibuat pihaknya bersama pihak pengurusan lapangan terbang awam di LTAKK.

Juruterbang pesawat pejuang Hawk 208 dari No 6 Skuadron Mejar Mohd Firdaus “PEDRO” Mohd Noor melakukan pemeriksaan pra-penerbangan sebelum balik ke Pangkalan Udara Labuan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Latihan ini kita lakukan adalah untuk memastikan kesiapsiagaan pihak pengurusan dan keselamatan lapangan terbang awam untuk menerima pendaratan cemas sesebuah pesawat pejuang milik tentera udara.

“Pendaratan sesebuah pesawat pejuang di lapangan terbang awam seperti di sini memerlukan koordinasi yang cekap, disiplin pengurusan masa yang tepat dan kerjasama yang penting diantara Pusat Kawalan Trafik Udara dibawah selian CAAM untuk menjamin keselamatan di atas landasan dan kawasan sekitar lapangan terbang.

“Ini adalah kerana pesawat pejuang dilengkapi dengan sistem persenjataan dan ada diantaranya dimuatkan dengan bom atau kita panggil ‘Live Ordinance’.

“Ini satu pelan tindakan yang memerlukan tahap kesiapsiagaan dan keselamatan yang amat tinggi,” katanya ketika ditemui SabahNewsToday selepas pelaksanaan latihan itu di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), hari ini.

Pesawat pejuang jenis Hawk 208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia dilihat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu bagi meneruskan penerbangan balik ke pangkalan di Labuan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Menurut Mohd Husaini, ini merupakan pendaratan julung kali pesawat pejuang jenis Hawk 208 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK).

“Pesawat kita tadi mendarat pada pukul 10.40 pagi. Juruterbang turut melepaskan ‘Drag Parachute’ iaitu salah satu elemen utama bagi sesebuah pesawat pejuang untuk berhenti sepenuhnya di atas landasan.

“Dan ini juga kita turut simulasikan kepada pihak Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) MAHB,” katanya.

Pesawat dikendali sendiri oleh Pegawai Memerintah No 6 Skuadron Leftenan Kolonel Mohammad Syagol Abdul Hamid dan sebuah lagi pesawat oleh Mejar Mohd Firdaus Mohd Noor.

Kakitangan AFRS diberikan taklimat oleh pegawai TUDM ketika pesawat selamat mendarat di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Mejar Mohd Husaini Kamaruddin

Tambah Mohd Husaini, latihan ini akan dijalankan pada masa akan datang untuk terus bekerjasama dan memastikan tahap kesiapsiagaan semua pihak berada pada tahap yang memuaskan.

“Dengan adanya latihan seperti ini, kita di TUDM akan terus bersedia dengan segala kemungkinan sekiranya perlu bagi pesawat pejuang kita untuk melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang awam di sini sewaktu melaksanakan latihan penerbangan atau operasi bagi mempertahankan kedaulatan udara negara ini,” jelasnya.

SabahNewsToday turut difahamkan latihan ini diarahkan oleh Panglima Wilayah Udara 2 Mejar Jenaral Datuk Hj Yazid Arshad TUDM dan pengarah latihan Brigadier Jeneral Mahadzer Amin TUDM.

Barisan pelaksana latihan simulasi merakamkan gambar kenangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Sementara itu, Pengurus Kanan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Sunif Naiman berkata latihan ini amat penting bagi pihaknya untuk bersama pihak TUDM untuk menerima kehadiran pesawat pejuang pada masa akan datang.

“Kesiapsiagaan ini amat penting untuk pihak AFRS sendiri lebih-lebih lagi melibatkan sistem persenjataan pesawat pejuang yang kita sedia maklum akan bahaya itu ada. Dengan adanya latihan seumpama ini, pihak kita lebih peka dan bersedia untuk menghadapi situasi sebenar pada masa akan datang,” katanya.

Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) Tentera Udara Diraja Malaysia dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) atas pelaksanaan simulasi yang diadakan. -SabahNewsToday