Pilih Bahasa

DUA JURAGAN DITAHAN GAGAL KEMUKA LESEN BOT

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Juragan pertama yang ditahan pihak APMM di perairan Inderasabah. – Gambar SNT/Ihsan APMM TAWAU

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua juragan lelaki dipercayai gagal menunjukkan  lesen bot yang dibawa ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan Inderasabah, di sini semalam. 

Kedua-dua suspek ditahan secara berasingan ketika bot peronda APMM sedang menjalankan Operasi Pluto Timur dan Operasi Maharlika Dua di perairan terbabit. 

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya berjaya mengesan bot suspek berusia 31 tahun kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Anggota APMM menahan juragan berusia 14 tahun dalam Operasi Pluto Timur dan Operasi Maharlika Dua di perairan Inderasabah. – Gambar SNT/Ihsan APMM Tawau

“Hasil pemeriksaan mendapati, juragan tempatan terbabit gagal mengemukakan dokumen lesen bot dan dipercayai bot berkenaan tidak memiliki nombor pendaftaran,”katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mohd Yusri berkata pihaknya kemudian menahan satu lagi bot pada pukul 1.25 tengah hari yang dibawa oleh seorang juragan berusia 14 tahun. 

“Juragan menunjukkan lesen bot kepada anggota APMM. Bagaimanapun, nama juragan tidak sama dengan nama individu yang didaftarkan di dalam lesen bot berkenaan. 

“Kedua-dua juragan ditahan manakala bot diiring masuk ke Jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut,’ katanya dan menjelaskan kes disiasat mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga  2002. – SabahNewsToday