Pilih Bahasa

DUA KANAK-KANAK DITEMUI LEMAS DI LIKAS

Oleh Mohd Adam Arinin

Salah satu mayat mangsa yang dijumpai diusung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada kejadian dua kanak-kanak lemas di sungai Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Dua kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika sedang bermain di sungai berhampiran Kampung Cenderamata 2, Likas, di sini, hari ini. 

Difahamkan kedua-dua mangsa dilaporkan lemas semasa mandi di sungai kampung berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi.

Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya menemukan mayat Mohd Asraf Abdullah yang lemas bersama seorang rakan Datu Aliudin Datu Aidar di sungai Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Budiman, 32, memberitahu SabahNewsToday, kawasan sekitar lokasi kejadian itu sering kali dilawati oleh beberapa kanak-kanak untuk mandi. 

“Terdapat sebuah peti ais lama yang sering dijadikan sebagai perahu oleh kanak-kanak itu dijumpai terbalik dalam sungai dan kami mengesyaki mereka berada di situ sewaktu kejadian.

Pegawai Perubatan menjalankan pemeriksaan nadi pada tubuh seorang mangsa yang ditemui selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai di Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kemudian beberapa penduduk kampung giat menjalankan usaha mencari kanak-kanak tersebut setelah beberapa rakan mangsa memaklumkan penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Mangsa pertama Datu Aliudin Datu Aidar, 10, ditemui Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada pukul 2.50 petang manakala Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah menemui mangsa kedua, Mohd Asraf Abdullah, 11, pada pukul 4.40 petang.

Unit Selam Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah melakukan persiapan akhir sebelum melakukan operasi SAR di sebuah sungai di Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Mohd Asraf, ditemui di dasar sungai berkenaan sedalam empat meter berhampiran lokasi mangsa pertama ditemui. 

Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.14 tengah hari.

Sementara itu Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ahli Parlimen Sepangar, Datuk Mohd Azis Jamman yang berada di lokasi kejadian berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu ketika mengadakan lawatan di kawasan sekitar Parlimen Sepanggar.

Usaha seorang penduduk kampung membaca surah Yassin semasa SAR dijalankan di sebuah sungai di Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Saya bergegas ke sini sebaik dimaklumkan mengenai insiden ini. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas kepada pasukan mencari menyelamat (SAR) yang terdiri dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM Sabah.

“Alhamdulillah dalam tempoh empat jam ini, kedua-dua mayat mangsa dijumpai dan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi tersebut.

Mohd Azis (dua dari kiri) turut berada di lokasi dua kanak-kanak yang lemas di sebuah sungai di Kampung Cenderamata 2, Likas. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Beliau turut diiringi Ketua Polis Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji.

Tambah Mohd Azis, beliau memohon kerjasama ahli keluarga dan penduduk sekitar untuk sentiasa mengawasi pergerakan anak mereka ketika bermain di kawasan sekitar agar kejadian sama tidak berulang terutama dalam keadaan cuaca hujan ketika ini. – SabahNewsToday