Pilih Bahasa

DUA KAPAL LMS BAKAL MANTAPKAN PERTAHANAN MARITIM NEGARA

Oleh Mohd Adam Arinin

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany memeriksa perbarisan dengan menaiki kenderaan istiadat semasa Majlis Perbarisan Ulung dan Ramah Mesra PTL bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sempena lawatan ulung di Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menambah aset serta melakukan penggantian kapal usang untuk memastikan pertahanan laut negara terus berada di tahap yang baik.

Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany berkata penggantian kapal-kapal operasi yang usang ini bakal dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan selain mencari kaedah lain untuk memastikan perbelanjaan yang lebih menunjukkan keberhasilan dalam setiap pengantian kapal operasi yang telah lama berkhidmat di perairan negara.

“Bagi Armada Timur, pihak kita akan menempatkan aset terbaharu TLDM iaitu dua buah kapal misi pesisir (LMS) yang dijangka tiba menjelang hujung tahun ini.

Perbarisan berjalan lalu membabitkan seramai 42 pegawai dan 302 anggota lain-lain pangkat pada Majlis Perbarisan Ulung dan Ramah Mesra PTL bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kapal ini dilengkapi dengan sistem persenjataan angkatan laut yang moden serta mampu berdepan dengan pelbagai cabaran semasa penugasan selain dapat meningkatkan semangat perkhidmatan yang tinggi dalam TLDM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Ulung dan Ramah Mesra PTL bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sempena lawatan ulungnya di Sabah.

Turut hadir Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Muda Datuk Zulhelmy Ithnain serta Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali.

Mohd Reza juga menasihatkan anggotanya untuk tidak menjadikan pelbagai cabaran semasa termasuk keusangan kapal sehingga mengalami kerosakan luar jangka, kekangan kewangan serta sumber manusia sebagai halangan.

Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany (tengah) pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Ulung dan Ramah Mesra PTL bersama warga Pangkalan TLDM Kota Kinabalu sempena lawatan ulung di Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Cabaran seperti ini boleh menggangu kredibiliti tugas sebagai seorang perwira negara yang sentiasa siap siaga di barisan hadapan jika tidak ditangani,” katanya.

Terdahulu, Mohd Reza menyempurnakan Upacara Perbarisan Istiadat Audit Kesiagaan (AK) Markas Pemerintahan Kapal Selam (MAKS) pada Isnin. Beliau kemudiannya membuat lawatan ke KD SRI Tawau dan KD SRI Semporna serta Markas Wilayah Laut 2 Sandakan.

“Saya juga berkesempatan untuk melawat anggota yang bertugas di Stesen Luar Pantai TLDM di Gugusan Semarang Peninjau yang terletak 162 Batu Nautika Barat Laut Kota Kinabalu.

“Saya lihat keadaan di sana amat positif, anggota TLDM sentiasa bersiap sedia. Walaupun bertugas di kawasan jauh dengan jarak ratusan batu di perairan negara, namun semua anggota yang bertugas bermotivasi tinggi dan membanggakan,” katanya. -SabahNewsToday