Pilih Bahasa

Dua koperal ditahan SPRM

KENINGAU: Dua anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, hari ini, selepas dipercayai menerima wang rasuah RM3,000 daripada seorang lelaki untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya atas kesalahan memiliki peralatan menghisap syabu.

Kedua-dua suspek berusia 37 dan 44 tahun berpangkat Koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau ditahan jam 2.30 petang.

Difahamkan, kedua-dua anggota polis itu menemui peralatan menghisap syabu di dalam rumah lelaki terbabit pada Selasa lalu.

Kedua-dua anggota polis kemudian menerima sejumlah wang rasuah RM3,000 daripada lelaki itu petang tadi, untuk tidak mengambil tindakan.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan terhadap kedua-dua individu itu.

“Kedua-dua suspek akan dihadap ke Mahkamah Sesyen Keningau esok (Khamis) untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi,” katanya. – SabahNewsToday