Pilih Bahasa

DUA LAGI SYARIKAT DITUDUH SELUDUP BERAS BERNILAI RM7.55 JUTA

KOTA KINABALU: Dua syarikat tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menyeludup sejumlah 140,000 karung beras Vietnam bernilai RM7,549,940 tahun lalu.

Wakil syarikat New Quality Diamond Sdn Bhd dan Midzmar Harun Trading Sdn Bhd masing-masing mengaku tidak bersalah dihadapan Majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim.

New Quality Diamond Sdn Bhd dituduh menyeludup barangan terlarang iaitu 100,000 karung beras Vietnam pelbagai varieti bernilai RM5,392,200 yang dimuatkan dalam 100 kontena.

Manakala, Midzmar Harun Trading Sdn Bhd dituduh menyeludup barangan terlarang iaitu 40,000 karung beras Vietnam pelbagai varieti bernilai RM2,157,740 yang didapati dalam 40 kontena.

Kedua-dua syarikat didakwa telah melakukan kesalahan tersebut pada 11 September tahun lalu di Pelabuhan Sepanggar dekat sini.

Menurut kertas pendakwaan, beras merupakan barangan terlarang di bawah Bahagian Satu, Jadual Kedua, Butiran 5 (1) Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Syarikat-syarikat terbabit didakwa di bawah Seksyen 135(1) (a) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa).

Jikalau sabit kesalahan, syarikat boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang dan tidak lebih 20 kali ganda atau penjara sehingga 3 tahun.

Mahkamah menetapkan 16 April bagi sebutan kes untuk New Quality Diamond Sdn Bhd manakala 29 April bagi Midzmar Harun Trading Sdn Bhd.

Tampil bagi pihak pendakwaan ialah Pegawai Pendakwa Kastam Janet S Linggu dan Job Jau manakala New Quality Diamond Sdn Bhd diwakili oleh Korvent E Jomiji.

Sementara itu Midzmar Harun Trading tidak diwakili peguam.-SabahNewsToday