Pilih Bahasa

Dua lelaki dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf ditembak mati

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Polis Sabah menembak mati dua lelaki dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) yang cuba melakukan jenayah dalam kejadian di perairan Felda Sahabat 2, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40-an yang tidak dipastikan warganegaranya ditemui mati dengan beberapa kesan tembakan di bahagian badannya.

Datuk Omar Mammah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata sepasukan polis yang sedang melakukan rondaan di kawasan darurat terserempak dengan dua pam bot dalam keadaan mencurigakan kira-kira 10 batu nautika dari pantai.

Katanya ketika cuba dipintas untuk pemeriksaan, salah seorang daripada suspek bertindak melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan.

“Untuk tujuan mempertahankan diri, pasukan polis terpaksa melepaskan beberapa tembakan balas ke arah kumpulan suspek.

“Pada masa sama, salah satu bot yang dipercayai ahli kumpulan suspek berjaya melarikan diri ke arah perairan Filipina,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.

Omar berkata selepas keadaan reda, pemeriksaan mendapati terdapat satu mayat lelaki terbaring di atas bot manakala seorang lagi suspek ditemui terapung berhampiran bot dengan beberapa kesan tembakan.

“Kedua-dua mayat suspek bersama pam bot kemudiannya dibawa balik ke Pengkalan Pasukan Polis Marin, Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa namun kedua-dua suspek dipercayai berusia lingkungan 30 hingga 40-an,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut menemui satu laras senapang rifle, dua butir peluru dan kelonsong peluru.

“Kita percaya kumpulan suspek ini berkemungkinan rangkaian ASG dan cuba melakukan jenayah di perairan negara ini.

“Bagaimanapun siasatan masih dijalankan mengenai identiti kedua-dua suspek terbabit termasuk tujuan mereka berada di perairan negara,” jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat (FIPA) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. -SabahNewsToday