Pilih Bahasa

Dua lelaki ditahan bantu kes kematian tiga lelaki di Pulau Kalapuan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Omar Mammah. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

SEMPORNA: Polis hari ini menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian juruselam dan dua pelancong China di Pulau Kalapuan, dekat sini, semalam dipercayai akibat terkena bom ikan. 

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan kes terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kita masih menyiasat kes itu termasuk menahan dua individu iaitu pemandu bot dan pembantunya bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini, kita percaya kematian ketiga-tiga mangsa disebabkan bom ikan, namun hasil keterangan daripada beberapa individu termasuk beberapa pelancong China yang berada di kawasan berhampiran mereka tidak mendengar bunyi letupan bom,” katanya.

Dalam kejadian itu, Zainal Abdun, 31, bersama dua lagi pelancong China dikenali sebagai Zhao Zheng dan Xu Yingjie ditemui maut ketika melakukan aktiviti menyelam, semalam. – SabahNewsToday