Pilih Bahasa

DUA LELAKI DITAHAN CUBA SELUDUP KELUAR BARANGAN RUNCIT, MAKANAN SEJUK BEKU

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Dua suspek yang ditahan kerana cuba membawa keluar pelbagai barangan runcit dan makanan sejuk beku ke Pulau Nunukan, Indonesia tanpa dokumen yang sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Tawau. – Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

TAWAU: Cubaan dua lelaki untuk menyeludup keluar pelbagai jenis barangan runcit dan makanan sejuk beku gagal, selepas ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), di Perairan Tanjung Doris, di sini Isnin lalu.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi), Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata pihaknya menahan bot jongkong yang dinaiki suspek warga tempatan berusia 32 dan 48 tahun yang dipercayai menuju ke Pulau Nunukan, Indonesia semasa Operasi Pluto Timur pada pukul 8.30 malam.

“Pemeriksaan mendapati, bot jongkong terbabit membawa muatan pelbagai barangan runcit dan makanan sejuk beku tanpa dokumen yang sah daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Tawau.

Bot jongkong yang dinaiki kedua-dua suspek berjaya dipintas di Perairan Tanjung Doris, Tawau. – Gambar SNT / Ihsan APMM Tawau

“Hasil siasatan mendapati suspek cuba membawa semua barangan terbabit untuk pasaran di negara jiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mohd Yusri berkata, semua yang ditahan termasuk muatan barangan dan bot jongkong dirampas dianggarkan bernilai RM100,000. 

“Barangan yang dirampas dibawa ke Jeti APMM untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki dalam cubaan menyeludup barang keluar ke negara jiran.

“Orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi, Zon Maritim Tawau di talian 089 750116 atau MERS 999,” katanya. – SabahNewsToday