Pilih Bahasa

Dua lelaki ditahan, mengaku samun dan bunuh pemandu Grab

Oleh Sabah News Today

KOTA KINABALU: Dua lelaki, seorang tempatan dan satu lagi warga asing ditahan dipercayai terlibat dalam kes seorang pemandu Grab yang hilang sejak 24 Mei lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata suspek berjaya ditahan kira-kira pukul 9.50 malam di tempat letak kereta, pusat membeli belah 1Borneo kelmarin.

Mayat yang ditemui oleh orang awam di Shahbandar, Tuaran kelmarin. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

“Hasil kerjasama yang diberikan oleh pihak Grab sendiri dan penyaluran maklumat tentang individu yang menggunakan perkhidmatan Grab yang dipandu oleh mangsa kali terakhir, pihak polis berjaya mengesan dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun dan seorang lelaki warga asing berumur 20 tahun.

“Hasil daripada tangkapan ini dan soal siasat yang dibuat, kedua-dua suspek mendedahkan serta mengaku terlibat dalam menyamun seterusnya membunuh mangsa sebelum dibuang di kawasan semak berdekatan Shahbandar, Tuaran,” katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Omar berkata siasatan awal mengikut rekod syarikat Grab, mangsa, Mohd Hanafiee Jaafar, 27,  mengambil kedua suspek di Kingfisher ke Tuaran pada pukul 4 pagi, di hari kejadian.

Kelmarin, ekoran dari maklumat orang awam polis Tuaran telah menemui mayat seorang lelaki di kawasan Shahbandar.

Walaubagaimanapun, identiti mayat belum dapat disahkan.

“Disebabkan perubahan fizikal mangsa yang mula mereput, keluarga pengadu tidak dapat mengesahkan identiti mayat terbabit.

“Oleh itu, pihak polis membuat siasatan dengan mengambil cop jari mayat tersebut serta DNA untuk mengesan identiti mayat sama ada mempunyai kaitan dengan keluarga pengadu ataupun tidak.

“Tetapi, setakat ini, kedua-dua suspek yang ditangkap telah mendedahkan bahawa mereka terlibat dalam kes ini dan kita akan buat siasatan lanjut berhubung kes terbabit,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kehilangan Mohd Hanafiee telah dilaporkan oleh teman wanitanya pada awal Ahad selepas menjumpai kereta Proton Saga dipandunya di tempat letak kereta bazar Ramadan Indah Permai.

Kali terakhir dia berhubung dengan Mohd Hanafiee pada 11 malam, Jumaat lalu.

Turut dilaporkan semasa dijumpa terdapat kesan darah di bahagian luar dan dalam kereta tersebut.-SabahNewsToday