Pilih Bahasa

Dua lelaki ditahan miliki produk tradisional China bernilai lebih RM47 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SANDAKAN: Dua lelaki tempatan ditahan ketika sedang leka memunggah 9,516 kotak pelbagai produk tradisional buatan negara China ke dalam sebuah lori di tepi jalan Hsiang Garden, Bandar Ramai-Ramai di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata suspek berusia 36 dan 63 tahun dipercayai pemilik kepada barangan tradisional terbabit bernilai RM47,580.

Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menemui beberapa beg berisi pelbagai barangan tradisional buatan negara China di dalam sebuah lori. Gambar SNT / Ihsan PPM Sandakan

Katanya, Operasi Landai yang dijalankan pukul 10 pagi itu dibuat hasil maklumat risikan oleh Unit Risikan Marin (URM) membabitkan empat anggota dan seorang pegawai PPM.

“Ketika sedang menjalankan serbuan, kedua-dua suspek tidak sedar kehadiran pihak berkuasa.

Kedua-dua suspek ditahan ketika sedang leka memunggah produk tradisional buatan negara China ke dalam sebuah lori. Gambar SNT / Ihsan PPM Sandakan

“Hasil pemeriksaan di dalam lori terbabit, kita menemukan 9,516 kotak pelbagai produk tradisional diperbuat dari negara China.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, produk terbabit tidak memiliki rekod berdaftar dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang disyaki mengandungi racun berjadual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, pihaknya sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan beberapa pihak lain yang dipercayai terbabit dalam menyimpan produk yang disyaki mengandungi racun.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali (tiga dari kiri) menunjukkan produk tradisional yang dirampas. Gambar SNT / Ihsan PPM Sandakan

“Kita percaya kegiatan itu dijalankan oleh sindiket yang menyimpan serta mengedar kepada peniaga bukan sahaja di Sandakan malah beberapa daerah lain sekitarnya.

“Kita akan merampas barangan terbabit dan akan terus siasat sindiket lain yang masih bebas mengedar barangan tidak berdaftar dengan KKM,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya melaporkan kepada pihak berkuasa bagi membantu mengekang penjualan ubat-ubatan terbabit.

“Peniaga diberi amaran supaya mematuhi peraturan dengan tidak menjual produk tidak berdaftar dengan KKM.

“Saya memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai penjualan ubat-ubatan tidak berdaftar supaya menghubungi pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Akta Farmasi 1951 iaitu pelanggaran (7)(1)(a) Kesalahan Peraturan 30(1) Dibawah Peraturan Kawalan Dan Kosmetik 1984,” katanya. – SabahNewsToday