Pilih Bahasa

Dua lelaki Filipina ditahan miliki syabu bernilai lebih RM15 ribu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

KUNAK: Polis berjaya merampas 100.55 gram dadah dipercayai syabu bernilai RM15,082.50 dengan penahanan dua lelaki warganegara Filipina, di tepi jalan Ladang Tingkayu, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan pukul 4.30 petang ketika sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Ladang Benta Wawasan Tawau menaiki motosikal jenis SYM.

Pemeriksaan di dalam beg terbabit menemukan dua peket plastik cerah dimana setiap satu berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 100.55 gram dianggarkan bernilai RM15,082.50. Gambar SNT / Ihsan IPD Kunak

“Ketika pegawai serbuan perkenalkan diri sebagai polis, kedua-dua suspek cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

“Polis kemudian menjalankan pemeriksaan tubuh badan dan menemui satu beg silang.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam beg terbabit menemukan dua peket plastik cerah dimana setiap satu berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 100.55 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, salah seorang daripada suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan dipenjara empat bulan di Kota Kinabalu.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan ketika dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke Ladang Benta Wawasan Tawau menaiki motosikal jenis SYM. Gambar SNT / Ihsan IPD Kunak

“Dadah dianggarkan bernilai RM15, 082.50 itu dirampas manakala kedua-dua suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday