Pilih Bahasa

Dua lelaki Filipina ditahan tidak miliki dokumen pengenalan diri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Anggota PPM (kanan) membawa dua suspek warga asing yang ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menahan dua lelaki pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina di perairan Batu 4 di sini semalam. 

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua suspek berusia 55 dan 38 tahun itu ditahan pukul 3.30 petang dalam Operasi Gelora. 

“Anggota bot ronda PPM yang sedang menjalankan tugas berjaya menahan dan memeriksa sebuah bot yang dinaiki dua lelaki.

Bot yang dinaiki kedua-dua suspek berjaya dipintas di perairan Batu 4 semalam. – Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Kita mendapati juragan dan awak-awak gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam operasi berkenaan, Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan disyaki menjalankan aktiviti perikanan dengan menggunakan lesen bot tamat tempoh. 

Katanya dua PTI dan seorang warga tempatan itu ditahan dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985. – SabahNewsToday