Pilih Bahasa

Dua lelaki Filipina gagal seludup keluar 4,500 liter minyak petrol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki warga Filipina menyeludup keluar 150 jerikin berisi 4,500 liter minyak petrol di perairan Pulau Bum-Bum, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, bot peronda yang sedang menjalankan tugas rutin pukul 8 malam mengesan bot kargo mencurigakan yang dinaiki suspek berusia 40 dan 60 tahun.

150 jerikin minyak petrol dibawa ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Gambar SNT / Ihsan APMM Semporna

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menyedari kehadiran pihak penguatkuasa kemudian bertindak memecut bot untuk melarikan diri.

“Bagaimanapun, bot terbabit berjaya dipintas dan hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kita turut menemui 150 jerikin berisi 4,500 minyak petrol di dalam bot terbabit.

“Suspek turut gagal mengemukakan surat atau sebarang dokumen pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa minyak petrol berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek berusia 40 dan 60 tahun cuba menyeludup keluar 150 jerikin berisi 4,500 liter minyak petrol. Gambar SNT / Ihsan APMM Semporna

Beliau berkata, semua barangan termasuk bot kargo dan enjin sangkut yang dianggarkan bernilai RM24,500 dirampas.

“Semua yang dirampas dibawa ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Tangkapan ini adalah kes kedua direkodkan Zon Maritim Semporna bagi tahun 2019 setakat ini,” katanya. – SabahNewsToday