Pilih Bahasa

Dua lelaki gagal seludup keluar 2,200 liter minyak petrol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Suspek yang ditahan pihak berkuasa disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

SEMPORNA: Tindakan dua lelaki menyeludup keluar 88 jerikin berisi 2,200 liter minyak petrol gagal selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Kulapuan di sini awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata dalam kejadian pukul 12.06 pagi itu anggota PPM yang sedang menjalankan rondaan diperairan terbabit memintas bot mencurigakan yang dinaiki suspek berusia 26 dan 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan di dalam bot terbabit, kita menemui 88 jerikin berisi minyak petrol dan setiap satu jerikin berisi 25 liter.

“Kedua-dua suspek turut gagal mengemukakan surat atau sebarang dokumen pengesahan daripada Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa minyak petrol terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebanyak 88 jerikin berisi 2,200 liter minyak petrol cuba diseludup ke negara jiran berjaya dirampas PPM. – Gambar SNT/Ihsan PPM Semporna

Mohamad Pajeri berkata, minyak petrol terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

Beliau juga percaya suspek bergerak pada waktu malam bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak penguatkuasa.

Katanya semua barangan termasuk bot dan dua enjin sangkut bernilai RM45,640 dirampas dan dibawa ke Markas PPM Semporna untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama Peraturan 3 Kawalan Bekalan. – SabahNewsToday