Pilih Bahasa

Dua lelaki Indonesia ditahan pasukan Maritim

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Bot kargo yang membawa barang kawalan tanpa permit sah. – Gambar SNT/Maritim Malaysia

TAWAU: Dua lelaki warganegara Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas cuba menyeludup keluar barang kawalan tanpa permit sah bernilai RM60,000 di perairan Sungai Melayu Pulau Sebatik, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, sebanyak 80 tong gas petroleum cecair (LPG), 7,200 paket gula pasir dan 4,065 paket makanan sejuk beku dirampas. 

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata bot peronda yang menjalankan pemantauan menerusi Operasi Pluto Timur dan Operasi Sejahtera di sekitar kawasan tanggungjawab mengesan sebuah bot kargo sedang bergerak menuju masuk ke Sungai Melayu, Pulau Sebatik.

Kedua-dua suspek kerana membawa barangan kawalan tanpa dokumen sah. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Beliau berkata pemeriksaan awal mendapati bot kargo terbabit dipandu oleh juragan dan dibantu oleh seorang awak-awak masing-masing berusia 25 serta 32 tahun. 

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot kargo itu dipenuhi muatan 80 tong LPG berwarna kuning dan hijau. 

“Turut ditemukan 7,200 paket gula pasir dan 4,065 paket makanan sejuk beku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

7,200 paket gula pasir turut dirampas. – Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia Tawau

Siva Kumar berkata kedua-dua lelaki turut gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dokumen kebenaran membawa barangan kawalan terbabit. 

Menurutnya semua muatan termasuk bot kargo dan enjin dianggarkan bernilai RM 175,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya ses disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. – SabahNewsToday