Pilih Bahasa

Dua lelaki tempatan ditahan miliki senapang buatan sendiri

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai memiliki dua laras senapang angin buatan sendiri, di sebuah rumah, di Kampung Serudong Baru, di sini, Isnin lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Norazizulkifli Mansor berkata, lelaki berusia 28 dan 32 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Tawau ketika menjalankan tugas Ronda Cegah Jenayah (RCJ) pukul 4.15 petang.

Suspek memberi alasan menggunakan senapang terbabit untuk menembak musuh tanaman seperti tupai namun alasan itu tidak boleh diterima kerana memiliki dan membuat senjata terbabit adalah menyalahi undang-undang. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

“Bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan Polis terserempak dengan dua lelaki mencurigakan yang berada di bawah rumah.

“Kita kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui dua laras senapang angin buatan sendiri yang di simpan di dalam stor rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek memberi alasan menggunakan senjata itu untuk menembak musuh tanaman seperti tupai namun alasan itu tidak boleh diterima kerana memiliki dan membuat senjata terbabit adalah menyalahi undang-undang.

Senapang angin terbabit menggunakan biji guli sebagai peluru. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

“Senjata yang menggunakan biji guli sebagai peluru itu merbahaya bukan sahaja kepada orang lain di sekitarnya, malah juga kepada penggunanya.

“Senapang itu menggunakan kuasa angin, dihasilkan dengan menggabungkan bahan-bahan tertentu termasuk balang alat pemadam api kecil yang dilengkapi tabung angin dan penyambar api,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methapentamine.

“Kedua-dua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Tawau untuk disiasat mengikut Sekyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – SabahNewsToday