Pilih Bahasa

Dua lelaki tempatan ditangkap, suspek kes pukul di Api-Api Centre

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Dua orang lelaki tempatan berumur 67 dan 37 tahun berjaya diberkas polis dipercaya terlibat dalam kes pukul berkumpulan di belakang sebuah restoran, di kawasan Api-Api Centre, blok 1 baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata berdasarkan siasatan tangkapan dibuat pada 4 Jun kira-kira pukul 3 petang.

Screenshot daripada rakaman video CCTV tersebut menunjukkan sekumpulan lelaki sedang memukul warga Pakistan yang juga pengadu dalam kes ini. Gambar SNT/Sumber media sosial

Katanya kedua-dua lelaki tersebut akan dituduh pada hari esok di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Rakaman video CCTV kejadian tersebut telah tular di media sosial sejak semalam

Dalam perkembangan lain, pihak polis juga sedang mengesan beberapa lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kes terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lengkap berkenaan kejadian ini boleh menyalurkan maklumat kepada kami untuk polis membuat tangkapan dan siasatan terhadap kesemua suspek ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, 2 Jun kira-kira pukul 1 pagi, bertempat di belakang sebuah restoran, di kawasan Api-Api Centre, blok 1, pengadu seorang lelaki berumur 33 tahun warganegara Pakistan bersama isterinya, 31, warga tempatan dan sepupunya lelaki pengadu, 42, telah dipukul oleh sekumpulan lelaki.

Pengadu dan isterinya dipukul sehingga rebah ke lantai. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Siasatan polis mendapati, pengadu telah dipanggil ke lokasi kejadian oleh seorang lelaki bernama Supri bagi tujuan berbincang mengenai isu sewa apartmen yang disewa oleh pengadu.

Ketika mereka berdua sedang berbincang di belakang sebuah restoran, datang tiga orang perempuan dan seorang lelaki yang merupakan pemilik apartmen yang disewa pengadu.

Ternampak sekumpulan menghampiri pengadu, sepupu pengadupun mendekati pengadu dan salah seorang dari pada tiga perempuan merakam video perbualan antara mereka.

Pengadu telah meminta agar jangan merakam video untuk tidak mengeruhkan keadaan namun, perempuan tersebut dengan lantang mengeluarkan kata-kata kesat.

Seterusnya, pertengkaran mulut antara mereka telah menarik perhatian sehingga tempat itu dikerumuni orang ramai. Dalam beberapa minit kemudian, datang empat orang lelaki yang merupakan bapa dan abang kepada pemilik apartmen terbabit.

Rakaman video berdurasi lebih 7 minit menunjukkan kejadian pergaduhan di Api-Api Centre, Kota Kinabalu pada 2 Jun. Gambar SNT/Sumber Media Sosial

Mereka yang datang itu terus meluru ke arah sepupu pengadu dengan melepaskan beberapa tumbukan ke arah muka. Lalu, pengadu yang sedang berbincang dengan Supri lari ke arah sepupunya untuk meleraikan mereka daripada memukul sepupunya. Akan tetapi, pengadu turut dipukul oleh kumpulan tersebut.

Oleh yang demikian, pengadu lari balik ke kedainya yang berkedudukan selang tiga blok kedai dari lokasi kejadian untuk meminta bantuan. Tetapi pengadu telah dikejar dan dibelasah oleh lebih kurang lima orang lelaki di belakang kedianya.

Terlihat kejadian tersebut, isteri pengadu yang kebetulan turun ke kedai mereka telah cuba menahan suspek daripada memukul suaminya. Namun, tanpa belas kasihan, tiga orang suspek telah memukul dan menendang isteri pengadu.

Pihak polis yang telah datang ke lokasi kejadian seterusnya meleraikan keadaan dan meminta kedua-dua pihak membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Kemudian, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan diminta menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Satu.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. -SabahNewsToday