Pilih Bahasa

Dua lelaki tempatan lolos tahanan polis di Kompleks Mahkamah KK diburu

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis giat memburu dua lelaki yang bertindak meloloskan diri dari tahanan polis di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass berkata dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, kedua-dua lelaki tempatan terbabit melarikan diri selepas mahkamah menjatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda atas kesalahan memiliki barang curi.

Lelaki dikehendaki polis, Affandy Zaineh berumur 31 tahun dan Mohd Zaini Mohamad Mahdi beumur 26 tahun. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Sebelum kejadian, kedua-dua suspek yang bergari dibawa ke lokap sementara mahkamah sebelum pihak polis membuka gari mereka diluar pintu lokap.

“Pada ketika itu, suspek bertindak melarikan diri sebelum diarah memasuki lokap berkenaan dan terus meluru keluar dari bangunan Mahkamah ke jalan utama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut Zaini, tindakan berani kedua-dua suspek itu berlaku ketika peguam bela mereka sedang memfailkan rayuan yang dijangka untuk pendengaran kes pada sebelah petang hari yang sama.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (kanan) bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji menunjukkan foto dua lelaki tempatan yang diburu polis selepas bertindak meloloskan diri dari tahanan sah di Mahkamah Kota Kinabalu, Isnin lalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Suspek dikenalpasti sebagai Affandy Zaineh berumur 31 tahun dan Mohd Zaini Mohamad Mahdi beumur 26 tahun. Kedua-dua mereka beralamat terakhir di Likas,” katanya.

Siasatan lanjut sedang giat dijalankan dibawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri dari tahanan yang sah. -SabahNewsToday