Pilih Bahasa

Dua lelaki terbabit kes pecah rumah ditahan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kes pecah rumah berjaya diberkas polis. – Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis berjaya memberkas dua lelaki dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Kampung Desa Bajau, di sini, semalam. 

Dalam Operasi Pintu terbabit, kedua-dua suspek berusia 20 dan 27 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Lahad Datu pada pukul 11.32 malam. 

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata ketika ditahan kedua-dua suspek warga tempatan dan warga Filipina itu mengaku terbabit dengan kes pecah rumah. 

Terdahulu, pada hari yang sama, pukul 12.10 tengah hari, seorang wanita menyedari telefon bimbit dan dompet berwarna merah jambu miliknya hilang dipercayai dicuri di rumahnya di Taman Warisan Dua Jalan Tengah Nipah. 

“Beg dompet terbabit mengandungi dokumen penting dan wang tunai RM120. 

“Mangsa turut mendapati bahagian belakang besi tingkap dapur dan cermin rumahnya dirosakkan dan dalam keadaan berselerak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Susulan kejadian itu  mangsa membuat laporan polis dan suspek berjaya ditangkap. 

Polis turut menemui barangan yang dicuri suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday