Pilih Bahasa

Dua lelaki warga asing curi basikal ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

PAPAR: Cubaan dua lelaki warga asing mencuri basikal dengan menyembunyikannya dalam van gagal apabila disedari penduduk kampung di Taman Nagapas, di sini semalam.

Kejadian jam 6 pagi itu, perbuatan kedua-dua suspek berusia 25 dan 33 tahun disedari oleh penduduk setempat sebelum suspek ditahan.

Basikal yang cuba dicuri disembunyikan dalam van. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata sebaik ditahan, kedua-dua suspek kemudian diserahkan kepada pasukan polis peronda yang bertugas.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek cuba mencuri sebuah basikal jenis ‘Mountain Bike’ daripada salah sebuah rumah di taman berkenaan namun berjaya ditahan orang ramai.

“Kedua-dua suspek warg asing diserahkan kepada pasukan polis peronda dan dibawa ke IPD Papar untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Dua lelaki ditahan selepas didapati cuba mencuri basikal milik penduduk di Taman Nagapas, Papar. Gambar SNT/Ihsan IPD Papar

Batholomew berkata pihaknya mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang membantu hingga suspek terbabit diberkas.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. -SabahNewsToday