Pilih Bahasa

Dua maut, dua lagi parah kereta rempuh belakang lori

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Dua maut dan dua kanak-kanak parah apabila kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori hingga menyebabkan kenderaan mangsa terperosok di bawah lori berkenaan.

Kejadian jam 1.10 tengah hari tadi di Jalan Kota Marudu – Kota belud, lelaki Zollen Enggal, 38, yang memandu kereta Proton Saga FL dan penumpang hadapan wanita Soo Li Ling, 30-an, maut di lokasi kemalangan.

Keadaan kenderaan yang terperosok lalu tersepit. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Dua kanak-kanak parah Zulkifli Sapawit, 7, patah kaki kiri dan Syarikhmal Soo Abdullah, 9, cedera dibahagian muka dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata, kereta dinaiki mangsa dari Kota Marudu dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu.

“Setiba di lokasi kemalangan yang menuruni bukit, pemandu Proton Saga FL terlanggar bahagian belakang lori hingga terperosok masuk ke bawah kenderaan berkenaan.

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit. Gambar SNT/Ihsan Bomba

“Pemandu dan penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud.

“Dua lagi mangsa kanak-kanak yang parah dibawa menggunakan ambulans ke Hospital Kota Belud untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pemandu lori lelaki berusia 50-an tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -SabahNewsToday