Pilih Bahasa

Dua maut, dua parah kereta terputus dua

Oleh Junaidi Ladjana

KENINGAU: Dua maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu merempuh tiang elektrik dan terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Tambunan-Kota Kinabalu di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11 malam itu, empat mangsa yang menaiki Proton Wira bergerak dari arah Kampung Minodung menuju ke Kampung Kaingaran, Tambunan.

Keadaan kereta Proton Wira dinaiki semua mangsa terputus dua dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Tambunan – Kota Kinabalu, Keningau. – Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata kereta jenis Proton Wira dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun bersama tiga penumpang termasuk dua wanita.

Katanya ketika sampai di jalan selekoh, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh tiang elektrik.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dinaiki semua mangsa terputus dua dan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan berkenaan.

Kereta Proton Wira dinaiki empat mangsa terputus dua selepas hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik. – Gambar SNT/Ihsan IPD Keningau

“Susulan itu dua wanita meninggal dunia di lokasi kejadian. Mangsa yang meninggal dunia adalah penumpang hadapan dan penumpang belakang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shahrudin berkata pemandu dan seorang lagi penumpang belakang iaitu seorang remaja mengalami kecederaan parah.

“Semua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tambunan untuk rawatan.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu yang disyaki memandu laju sehingga terbabas sendiri,” katanya.

Shahrudin berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday