Pilih Bahasa

Dua maut, dua selamat dan seorang masih hilang

Oleh Junaidi Ladjana

logo maritim malaysia

PITAS: Dua maut dua lagi selamat manakala seorang lagi masih hilang selepas bot penumpang dinaiki mereka karam di perairan Kampung Berungus, di sini tengah hari tadi.

Mangsa maut dikenali sebagai Mustaib dan Suhaimi yang masing-masing berusia dalam lingkungan 60-an manakala dua yang selamat dikenali sebagai Hajah Auyah, 63, dan Roki Suhaimi, 40, manakala mangsa yang hilang iaitu Sumansi Suhaimi, 20.

Semua mangsa yang menaiki bot penumpang itu dari Kudat menuju ke Kampung Malubang, Pitas, pada pukul 12.30 tengah hari dan difahamkan, ketika kejadian keadaan angin kencang dan ombak bergelora.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah, Laksamana Muda Kamaruszaman Abu Hassan berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkenaan sebuah bot bersama lima penumpang karam berhampiran perairan Kampung Berungus, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pukul 2 petang tadi.

“Seorang penumpang lelaki yang selamat dikatakan memakai jaket keselamagan dan punca bot itu karam kerana disebabkan kebocoran.

“Semua mangsa yang ditemui di bawa ke Kampung Malubang dan operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.30 petang dan akan disambung semula esok pada 7 pagi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pihaknya menyeru kepada semua komuniti maritim untuk sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut dengan memakai jaket keselamatan.

Katanya komuniti maritim juga harus peka dengan keadaan cuaca semasa yang dikeluarkan oleh pihak yang berkenaan dan memaklumkan segera kejadian kecemasan yang berlaku di laut kepada pihak APMM. – SabahNewsToday