Pilih Bahasa

Dua maut kemalangan membabitkan Mercedes Benz dan Toyota Hilux

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua maut manakala tiga cedera ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Coastal berhampiran Hospital Gleneagles, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian jam 12.48 tengah malam itu, pemandu Mercedes Benz Chong Yin [email protected], 84, dari Kota Kinabalu meninggal dunia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth I, manakala penumpangnya Amarjeet Singh Gill, 57, dari Selangor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa daripada kenderaan Mercedes Benz terlibat dalam kemalangan maut di Jalan Coastal di sini awal pagi tadi. Gambar kecil menunjukkan mangsa Chong Yin Cheong (kiri) dan Amarjeet Singh Gill (kanan). Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pemandu lelaki dan dua penumpang kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux masing-masing berusia 29, 34 dan 37 hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati kenderaan Toyota Hilux dinaiki tiga lelaki dari arah lampu isyarat Sutera Habour menuju ke Oceanus.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, ketika berada di jalan lurus utama, tiba-tiba kereta Mercedes Benz dipandu mangsa keluar simpang secara mengejut menyebabkan pemandu Toyota Hilux tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian kiri kereta dipandu mangsa.

“Akibat daripada kemalangan itu, penumpang Mercedes Benz meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandunya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Unit Kecemasan HQE I, jam 1.17 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bahagian hadapan Toyota Hilux yang remuk selepas bertembung dengan sebuah Mercedes Benz di Jalan Coastal, Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Habibi berkata pemandu dan dua penumpang Toyota Hilux hanya cedera ringan.

“Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.41 tengah malam dan satu jentera serta sebuah kenderaan EMRS membabitkan 13 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Anggota bomba dari unit EMRS berusaha memberikan bantuan kecemasan terhadap pemandu Mercedes Benz yang terlibat dengan kemalangan di Jalan Coastal, Kota Kinabalu. Bagaimanapun, Chong Yin [email protected], 84, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Queen Elizabeth I. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Pasukan bomba mengambil masa hampir sejam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dari kereta Mercedes Benz berkenaan. – SabahNewsToday