Pilih Bahasa

Dua menteri penuh, seorang pembantu menteri tewas pemilihan ketua bahagian Warisan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Pemilihan bahagian Parti Warisan Sabah (Warisan) yang julung kali diadakan menyaksikan dua menteri penuh dan seorang pembantu menteri tewas dalam perebutan jawatan ketua bahagian hari ini.

Namun, Ketua Menteri dan presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal seperti yang dijangkakan memenangi jawatan Ketua Bahagian Warisan Semporna tanpa tanding.

Mohd Shafie membuang undi dalam pemilihan bahagian Warisan Semporna hari ini. Gambar SNT/Nasrawati Sharifuddin

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong pula memenangi jawatan timbalan ketua bahagian Semporna menewaskan Jakariya  Abdul Jalil yang juga adalah setiausaha politik kepada Ketua Menteri.

Kejutan berlaku dalam pemilihan bagi jawatan Ketua Bahagian Warisan Batu Sapi, Ahli Parlimen merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong yang dilaporkan kalah kepada Pg Roslan Pg Nasrun, seorang lagi setiausaha politik kepada Ketua Menteri.

Datuk Liew Vui Keong. Gambar Fail SNT

Laporan tidak rasmi menyatakan Roslan mendapat 73 undi manakala Liew hanya mendapat 33 undi.

Bagi jawatan Ketua Bahagian Warisan Papar, Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Mokhtar yang juga Adun Pantai Manis tewas kepada Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan.

Sementara itu, Adun Petagas merangkap Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal-Ehwal Anak Negeri, Datuk Uda Sulai pula tewas kepada Awang Ahmad Sah Sahari bagi jawatan Ketua Bahagian Warisan Putatan.

Datuk Aidi Mokhtar. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Laporan tidak rasmi menyebut Uda hanya mendapat 61 undi manakala Awang Ahmad Sah mendapat 111 undi

Awang Ahmad merupakan abang kepada Ahli Parlimen Putatan Awang Husaini Sahari dan juga pengerusi Ko-Nelayan.

Datuk Uda Sulai. Gambar SNT/Ehsan Perhubungan Awam DUN Petagas

Datuk Karim Bujang yang kini masih lagi terlibat dalam petisyen pilihanraya Kimanis dilaporkan memenangi jawatan Ketua Bahagian Kimanis.

Menurut sumber dalaman parti, keputusan lengkap pemilihan bahagian Warisan pertama akan dikeluarkan selepas semua keputusan telah diperolehi.-SabahNewsToday