Pilih Bahasa

Dua nelayan Brunei ditemui selamat sembilan masih hilang

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sembilan nelayan Brunei yang dikhuatiri hanyut di perairan Malaysia.

Jurucakap Maritim Malaysia dalam kenyataan medianya hari ini berkata pihaknya menerima maklumat daripada National Search dan Rescue Coordination Committe (NRCC) Brunei memohon bantuan mengesan 11 nelayan mereka yang dikhuatiri hanyut.

Anggota Maritim Malaysia mengangkat mangsa nelayan Brunei yang ditemui selamat. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

Katanya, pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat Maritim (MRCC) Putrajaya menyalurkan maklumat dan memohon bantuan aset daripada agensi sahabat bagi mengesan mangsa terbabit.

“Pada tengah hari tadi, sebuah bot nelayan tempatan menyelamatkan dua orang kru bot nelayan Brunei RADIM2 di sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga.

Nelayan warga Brunei ditemui selamat di sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

“Seorang mangsa dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Sepanggar sebelum mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kota Kinabalu kemudian dimaklumkan sembilan orang mangsa dengan memakai jaket keselamatan kelihatan disekitar perairan Semarang oleh pelaut pada 7 Ogos lalu.

Salah seorang kru bot nelayan Brunei ditemui selamat oleh nelayan tempatan di sekitar 10 batu nautika dari Pulau Tiga. Gambar SNT/Ihsan Maritim Malaysia

“Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kemudian digerakkan ke kawasan berkenaan untuk mengesan mangsa namun tidak menemui sebarang petunjuk.

“Sembilan kru bot nelayan Brunei masih belum ditemui,” katanya.-SabahNewsToday