Pilih Bahasa

Dua Palauh ditahan jalankan kegiatan bom ikan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

SEMPORNA: Dua lelaki Palauh ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) disyaki menjalankan kegiatan mengebom ikan di perairan Semporna, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 40an itu ditahan menerusi Operasi Gelora yang dijalankan di kawasan terbabit kira-kira pukul 8 malam.

Kedua-dua suspek dan barangan rampasan di bawa ke Pangkalan Polis Marin Semporna untuk tindakan lanjut. Gambar SNT / Ihsan PPM Semporna

Beliau berkata pemantauan yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) selama beberapa hari itu berjaya mengesan pam bot dinaiki suspek yang sedang menjalankan aktiviti mengebom ikan.

“Ketika ditahan dan diperiksa di dalam ruangan perahu, kita menemukan ikan pelbagai jenis kira-kira 40 kilogram (kg) yang disyaki mati akibat daripada bahan letupan iaitu bom ikan.

“Tiada bahan letupan atau peralatan ditemukan berkemungkinan sudah dibuang ketika pihak PPM menghampiri pam bot suspek … hasil ikan banyak namun pukat dan pancing tidak ditemui.

“Berpandukan maklumat mereka memang menjalankan kegiatan bom ikan hasil intipan dijalankan PPM selama empat hari,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tangkapan dan barangan rampasan bernilai lebih RM5,000 dibawa ke Pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya. –SabahNewsToday