Pilih Bahasa

Dua pembantu Pendaftaran JPN mengaku tidak bersalah minta suapan

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Dua Pembantu Pendaftaran Gred KP22 Semporna dihadapkan di Mahkamah Khas Rasuah, hari ini, atas pertuduhan meminta rasuah membabitkan nilai RM4,000 pada 2017.

Tertuduh Azmi Amir Lunji, 44 dan Yuliana Saat, 42 bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Abu Bakar Manat.

Tertuduh Azmi Amir Lunji kelihatan menutup mukanya menggunakan baju kotnya dan berlari masuk ke dalam kereta Hyundai jenis Starex. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Mohd Faliq Basirun manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ariel Christopher Dasan dan Datu Baginda Datu Laja.

Mengikut pertuduhan, Azmi yang bekerja sebagai Pembantu Pendaftaran Gred KP22 Semporna meminta rasuah daripada Sufiah Said sebanyak RM2,000 sebagai dorongan meluluskan permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembarnya berusia 12 tahun, Nuraznil Ayub dan Nuraznah Ayub di kawasan letak kenderaan Century Supermarket, Jalan Seri Melor Tinagayan Semporna, jam 8 malam, 26 April 2017.

Yuliana yang juga bekerja sebagai Pembantu Pendaftaran Gred KP22 dalam kertas pertuduhan turut meminta rasuah daripada Sufiah Said sebanyak RM2,000 sebagai dorongan menerima dan memproses permohonan pendaftaran kad pengenalan anak kembarnya berusia 12 tahun, Nuraznil Ayub dan Nuraznah Ayub, di belakang Restoran Seri Cahaya, Taman Sempaul Semporna, jam 5.30 petang, 26 April 2017.

Kedua-dua tertuduh didakwa dibawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan denda maksimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Terdahulu, Mohd Faliq menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan terhadap kedua-dua tertuduh dan diminta melaporkan diri di pejabat SPRM serta memohon dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam tertuduh memohon jaminan dikurangkan kepada RM2,500 dan RM2,000 dengan mengambil kira latar belakang anak guam masing-masing.

Hakim kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan deposit RM5,000 diberi kepada mahkamah.

Tertuduh juga perlu melapor diri di Pejabat SPRM terdekat dalam tempoh dua bulan sekali. Syarat tambahan diberi kepada Yuliana supaya tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Abu Bakar menetapkan 15 November depan bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. – SabahNewsToday