Pilih Bahasa

Dua penagih serang polis guna senjata tajam ditahan

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua penagih dadah nekad menyerang termasuk menikam seorang anggota polis untuk meloloskan diri dalam kejadian di Taman Puri Warisan, Inanam, di sini.

Bagaimanapun dalam kejadian jam 1.35 petang Isnin itu, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 39 tahun terbabit berjaya ditahan anggota polis bertugas.

Senjata yang digunakan suspek ketika kejadian dirampas. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata bertindak atas maklumat awam dan risikan, sepasukan anggota dan pegawai polis menjalankan operasi di kawasan berkenaan.

Katanya pasukan polis terserempak dengan dua lelaki yang sedang menghisap dadah di bawah tangga di blok bangunan perumahan berkenaan.

“Sebaik menyedari kehadiran polis, kedua-dua suspek terus membuang dua peket syabu sebelum melarikan diri.

“Bagaimanapun, salah seorang suspek bertindak agresif dengan mengeluarkan gunting besi yang diubah suai menjadi senjata tajam dan terus menyerang anggota polis,” katanya ketika dihubungi.

Anggota polis yang cedera di lengan kiri akibat ditikam oleh suspek. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata ketika pergelutan itu, suspek menikam anggota polis di bahagian lengan dan rusuk kiri.

Katanya seorang lagi suspek turut bertindak merempuh dan menumbuk salah seorang anggota polis yang cuba menahan mereka.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek akhirnya berjaya ditahan dan senjata gunting besi yang diubah suai itu dirampas.

“Polis turut merampas sebilah pisau berukuran 32 sentimeter yang diselitkan dibahagian pinggang suspek dan turut ditemui dua paket syabu seberat 0.20 gram yang bernilai RM20 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Habibi berkata anggota polis yang cedera sudah dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan dan sudah dibenarkan keluar.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958,” katanya. – SabahNewsToday