Pilih Bahasa

Dua pengedar dadah dicekup

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA BELUD: Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kota Belud di sini, semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 35 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan selepas dikenalpasti aktif melakukan kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Dadah yang dirampas selepas menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah di Kampung Kota Belud, semalam. – Gambar SNT/Ihsan IPD Kota Belud

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata kedua-dua suspek lelaki itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJN) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bermula pukul 8 pagi.

Katanya tangkapan pertama membabitkan pengedar berusia 28 tahun yang dikesan membawa enam paket plastik mengandungi ketulan hablur iaitu syabu seberat 33.54 gram bernilai RM5,000.

“Hasil soal siasat, suspek mengaku mendapatkan bekalan daripada rakan dikenali sebagai ‘Boboy’ berusia 35 tahun yang juga pengedar dadah.

“Susulan itu, satu lagi operasi memburu suspek kedua dijalankan dan berjaya menahan lelaki terbabit sejurus selepas itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata suspek kedua didapati sedang bersembunyi di kawasan belukar tidak jauh dari rumah pertama yang diserbu.

Beliau menambah pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas suspek menemukan dua lagi paket plastik berisi syabu seberat 5.49 gram bernilai RM750.

“Selain itu kedua-dua suspek warga tempatan itu mempunyai rekod lampau mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Mohd Zaidi berkata kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) ADB 1952 dan Seksyen 39A(1) akta sama. – SabahNewsToday