Pilih Bahasa

Dua penyeludup ditahan, rampas dua juta batang rokok

Oleh Junaidi Ladjana

SANDAKAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 Sandakan, berjaya menahan dua penyeludup bersama 2 juta batang rokok di Pusat Pemeriksaan Jalan Sapi Nangoh, Beluran, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, kedua-dua suspek berusia 34 dan 38 tahun dikatakan cuba melepasi sekatan jalan berkenaan namun kecekapan anggota PGA melakukan siasatan berjaya menemui rokok seludup yang dipercayai cuba diedarkan untuk pasaran tempatan.

Anggota PGA Batalion 15 Sandakan membuka pintu kontena disyaki membawa rokok tanpa cukai.-Gambar SNT/Ihsan PGA Batalion 15

Pegawai Memerintah PGA Batalion 15, Superintendan Toipi Lamat berkata sebelum kejadian, sepasukan anggota yang sedang bertugas di lokasi itu menahan sebuah lori kontena untuk pemeriksaan.

Katanya pemandu lori berusia 38 tahun itu mengaku sedang dalam perjalanan dari daerah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu.

“Sebaik diperiksa, pemandu lelaki itu mengemukan satu dokumen mencurigakan selain enggan memberikan kerjasama apabila diminta membuka pintu kontena.

“Suspek memberitahu, kunci kontena berkenaan tertinggal di Sandakan dan pemillik kontena akan datang ke Kota Kinabalu untuk membawa kunci,”katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rokok seludup yang dirampas oleh anggota PGA Batalion 15 Sandakan di Jalan Sapi Nangoh, Beluran.-Gambar SNT/Ihsan PGA Batalion 15

Toipi berkata anggota PGA bertegas untuk memeriksa kontena kandungan berkenaan dan mengarahkan pemilik datang ke pusat pemeriksaan itu.

“Pada jam 12.40 tengah malam, seorang lelaki berusia 34 tahun yang mengaku sebagai pemilik kontena datang ke lokasi terbabit.

“Lelaki yang mengaku sebagai pemilik itu turut tidak memberi kerjasama dan enggan membuka kontena untuk diperiksa selain mendakwa terlupa membawa kunci,” katanya.

Toipi berkata hasil soal siasat yang dijalankan, suspek akhirnya mengaku kontena berkenaan sebenarnya berisi rokok seludup.

Katanya kedua-sua suspek bersama lori berkenaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

“Sebaik tiba di IPD Beluran, suspek membuka kontena berkenaan dan membawa kepada penemuan pelbagai rokok tidak bercukai.

“Semua yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.65 juta berdasarkan harga pasaran semasa termasuk lori yang digunakan untuk menyeludup,” katanya.

Toipi berkata kedua-dua suspek kemudiannya ditahan untuk disiasat mengikut Akta Kastam 1967.

“Selain itu, kedua-dua suspek juga akan didakwa mengikut Peraturan 3 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020, kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya. – SabahNewsToday