Pilih Bahasa

Dua PTI ditahan APMM cuba seludup keluar 1,450 liter minyak petrol

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Sebanyak 58 tong jerikin berisi 1,450 minyak petrol dipercayai cuba diseludup ke negara jiran. – Gambar SNT/Ihsan APMM Semporna

SEMPORNA: Cubaan dua lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) warganegara Filipina menyeludup keluar 1,450 liter minyak petrol gagal selepas ditahan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Bum-bum, di sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata pihaknya yang sedang menjalankan tugas rutin cuba menahan dua bot yang dinaiki suspek berusia 31 dan 35 tahun dipercayai bergerak dalam keadaan mencurigakan di perairan pulau berkenaan kira-kira pukul 8 pagi.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua suspek cuba meloloskan diri ketika penguatkuasa menghampiri bot namun berjaya dipintas.

Suspek PTI yang ditahan pihak APMM kerana dipercayai cuba menyeludup keluar 1,450 liter minyak petrol. – Gambar SNT/Ihsan APMM Semporna

“Kita kemudian menjalankan pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek namun mereka gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai warganegara Filipina. 

“Pemeriksaan lanjut di dalam bot itu turut menemui 58 tong jerikin berisi 1,450 liter minyak petrol disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau berkata, semua barangan yang dirampas termasuk bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM20,000. 

Katanya barang tersebut dibawa ke Jeti Kem Azumi Semporna untuk siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63. – SabahNewsToday