Pilih Bahasa

Dua remaja, janda hidu gam ditahan ingkar PKP

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua remaja dan seorang wanita berstatus janda bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) malah khayal selepas disyaki menghidu gam di kawasan Pasar Besar Kota Kinabalu di sini, semalam.

Dua remaja lelaki berusia 12 dan 16 tahun dan wanita berusia 20 tahun ditahan sepasukan polis pada pukul 12 tengah malam dalam rondaan Op Covid-19.

Habibi Manjiji. – Gambar fail SNT

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata ketiga-tiga individu itu ditahan selepas mereka dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua remaja itu tinggal di bangunan Safma manakala wanita terbabit di kawasan Tanjung Aru dan tujuan mereka berada di kawasan pasar untuk menemui rakan mereka yang lain.

“Mereka turut mengaku ada menghidu gam sebelum ketiga-tiganya ditahan kerana melanggar PKP yang sedang berkuatkuasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Habibi berkata semua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Menurut beliau kes itu disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Katanya siasatan juga dibuat berdasarkan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020.

Sementara itu, Habibi menekankan bahawa tiada lagi orang perseorangan dan pemborong ikan yang tidak berdaftar dengan Safma yang boleh berada di kawasan berkenaan tanpa alasan yang munasabah.

“Polis akan menjalankan tangkapan pada mana-mana individu yang masih degil. Tindakan yang keras daripada polis adalah untuk tujuan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, urusan pemborongan ikan dan bot-bot nelayan yang berdaftar di Safma akan hanya dibenarkan beroperasi bermula seawal pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja,” katanya. – SabahNewsToday