Pilih Bahasa

DUA REMAJA MAUT KENDERAAN TERBABAS SENDIRI

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Kenderaan Toyota Land Cruiser yang terbabas sendiri sehingga mengakibatkan dua maut di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

MEMBAKUT: Dua remaja maut apabila kenderaan dinaiki bersama dua individu lain terbabit kemalangan di Jalan Pantai Pimping, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa yang terkorban dikenalpasti sebagai Mohd Fadzil Loin @ Mohd Zulkifli, 18, dan Joelary Juni @ Kulin, 16.

Keadaan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang terbabas di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

Dua lagi mangsa lain iaitu pemandu kenderaan, Mohammad Anil Ashraf Abdul Ghaffar, 20, serta abang kepada salah seorang mangsa meninggal dunia, Mohd Nazrul Loin @ Mohd Zulkifli, 21, masing-masing  mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superitendan Azmir Abd Razak berkata semua mangsa menaiki kenderaan jenis Toyota Land Cruiser berwarna hitam dipandu salah seorang mangsa dalam perjalanan daripada arah Kampung Palu-Palu menuju ke Membakut. 

Kereta pacuan empat roda jenis Toyota Land Cruiser yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Pantai Pimping, Membakut. – Gambar SNT/Ihsan IPD Beaufort

“Setibanya dilokasi kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri ke sebelah kiri bahu jalan dan terbalik beberapa kali ke sebelah kanan bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, dua orang mangsa yang duduk dikerusi penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan.

“Semua mangsa yang tercampak keluar disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan bertugas akibat cedera parah di bahagian dalaman badan manakala pemandu serta penumpang hadapan hanya cedera ringan,” katanya.

Azmir berkata siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SabahNews Today