Pilih Bahasa

Dua remaja perempuan positif dadah antara ditahan serbuan di pusat hiburan

Oleh Junaidi Ladjana

Sebahagian pengunjung diperiksa oleh polis dalam Ops Club Rats di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Empat pengunjung pusat hiburan yang berhibur sambil melepaskan ketagihan dadah ditahan dalam Ops Club Rats, dijalankan sekitar bandar raya ini.

Operasi bermula kira-kira pukul 10 malam dan berakhir 4 pagi itu turut menahan seorang lelaki kerana memiliki enam biji pil ekstasi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata operasi itu dijalankan di empat pusat hiburan di sekitar bandar raya ini.

Anggota polis menjalankan saringan ujian air kencing ke atas pengunjung salah sebuah pusat hiburan dalam Ops Club Rats di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Dalam operasi itu, 127 pengunjung pusat hiburan diperiksa dan daripada jumlah itu dua lelaki serta dua remaja perempuan didapati positif dadah.

“Seorang lagi ditahan kerana memiliki enam pil ekstasi,” katanya di sini hari ini.

Habibi berkata, mereka yang positif dadah serta memiliki dadah itu ditahan untuk siasatan lanjut.

Anggota polis menjalankan saringan ujian air kencing ke atas pengunjung salah sebuah pusat hiburan dalam Ops Club Rats di Kota Kinabalu. – Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Ujarnya semua suspek warga tempatan ditahan mengikut Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi itu disertai sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Penampang dan Tuaran.   SabahNewsToday