Pilih Bahasa

Dua sekeluarga maut dalam nahas jalanraya di Kampung Tomis

Oleh Alfred Petrus

KOTA BELUD: Dua orang wanita maut dalam satu nahas jalan raya di Kampung Tomis, Jalan Ranau-Tuaran, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Mohd Zaidi Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi itu melibatkan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan Proton Iswara Aeroback.

Orang awam membantu mengeluarkan mangsa dari kenderaan. Gambar SNT/Ihsan Bomba

Siasatan awal mendapati Toyota Hilux bersama lima orang penumpang dari arah Kota Kinabalu menuju ke Sandakan.

Apabila tiba di lokasi kejadian, pacuan empat roda berkenaan bertembung dengan Proton Iswara Aeroback yang bersama dengan tiga orang penumpang di dalamnya dari arah bertentangan.

Dalam kejadian kemalangan terbabit, pemandu dan semua penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pemandu Proton Iswara Aeroback hanya mengalami kecederaan ringan iaitu luka pada bahagian dahi namun isterinya, Julia Panikir, 42, yang duduk di sebelahnya maut di tempat kejadian.

Suasana menyayat hati di lokasi kejadian. Gambar SNT/Sumber sosial media

Manakala, anak perempuannya, Litalana Erna Stomon, 17, yang juga seorang pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kinarut meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau.

Seorang lagi anak lelaki pemandu berumur 11 tahun mengalami kecederaan parah dan masih menerima rawatan di Hospital Tuaran.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SabahNewsToday