Pilih Bahasa

Dua suspek ‘Geng James’ ditahan, tiga dikehendaki polis

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Polis berjaya memberkas dua penjenayah yang melakukan samun bersenjata dalam masa kurang 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah mewah di Sembulan, di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata kedua-dua suspek merupakan warganegara tempatan berumur lingkungan 40-an ditahan polis di Plaza II di Luyang, kurang 24 jam selepas melakukan jenayah samun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji (tengah) bersama pegawainya menunjukkan gambar tiga suspek yang dikehendaki polis pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Kedua-dua suspek bersama tiga lagi rakan sejenayah yang kini masih bebas memasuki sebuah rumah banglo itu sekitar 11.30 pagi pada 14 Jun (Jumaat) dengan bersenjatakan pisau.

“Suspek juga mengancam nyawa pembantu rumah sebelum menggeledah bilik tidur utama di tingkat atas dan melarikan pelbagai barangan kemas dan wang tunai seterusnya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Saga,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinalau, di sini, pagi tadi.

Menurut Habibi, hasil siasatan awal polis mendapati samun bersenjata yang dilakukan ‘Geng James’ ini adalah yang pertama kali di daerah ini.

“Kita yakin kumpulan ini aktif melakukan jenayah di negeri ini. Namun, menurut suspek yang ditahan ini merupakan kali pertama mereka menyamun di Kota Kinabalu,” katanya.

Tambah Habibi, pihak polis kini giat memburu tiga orang suspek yang masih bebas termasuk dalangnya, James Vun Fui Nyen atau dikenali sebagai ‘Lau Chai’ berusia 51 tahun.

Dua lagi yang dikehendaki ialah Heng Mok Chein, 39 dan Sim Kee Fah, 31.

“Pihak polis juga meminta bantuan daripada orang awam yang mempunyai maklumat tentang ketiga-tiga suspek yang dikehendaki ini untuk segera menghubungi pihak polis di balai polis terdekat,” tambahnya. -SabahNewsToday