Pilih Bahasa

Dua wanita warga Filipina ditahan ketika leka bungkus dadah

Oleh Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Dua wanita warga Filipina ditahan polis ketika sedang leka membungkus dadah jenis syabu dalam rumah di Taman Putera Jaya, Manggatal, di sini, 18 November lalu.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 20 tahun ditahan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, jam 3.30 petang.

Yyabu yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah Taman Putera Jaya, Manggatal, Kota Kinabalu. Gambar SNT / Ihsan IPD KK

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, ketika serbuan dilakukan, kedua-dua wanita itu sedang menimbang dua peket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan menggunakan penimbang digital.

“Rampasan dadah dianggarkan seberat 75.50 gram yang bernilai RM11,325.

“Selain itu, turut dirampas satu alat penimbang digital dan tiga telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

. Pegawai polis menunjukkan dadah syabu yang dirampas susulan penahanan dua wanita warga Filipina. Gambar SNT/Ihsan IPD KK

Habibi berkata kedua-dua suspek warga Filipina tidak mempunyai rekod jenayah dan negatif ujian saringan air kencing.

“Suspek juga tidak mempunyai pekerjaan dan direman selama tujuh hari bermula 19 November 2019.

“Siasatan diteruskan bagi mengetahui dari mana wanita itu memperoleh bekalan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan dan Seksyen 7 ADB FOP 1987 bagi sitaan. -SabahNewsToday