Pilih Bahasa

Dun Sabah lulus pembubaran 1,637.563 hektar hutan simpan yang mempunyai perkampungan

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah pada Khamis meluluskan pembubaran 1,637.563 hektar kawasan hutan simpan negeri yang mempunyai kawasan perkampungan didiami oleh penduduk tempatan sejak sekian lama.

“Sebanyak 90 buah perkampungan melibatkan 3,800 rumah dan lebih kurang 20,000 penduduk terlibat dalam pembubaran kawasan hutan simpan ini,” kata Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Ariffin Asgali semasa membentangkan Rang Undang-Undang Enakmen Hutan (Penubuhan Hutan Simpan dan Pindaan) (Pindaan) 2019.

Pembantu Menteri Jabatan Ketua Menteri, Arifin Asgali. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Penduduk kampung ini adalah terdiri daripada masyarakat luar bandar yang berasal dari kawasan berkenaan dan telah dikenal pasti sebagai rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan kerajaan untuk diberikan kawasan tanah bagi tujuan penempatan mereka yang sah,” katanya.

Menurutnya perkampungan yang dikeluarkan daripada kawasan hutan simpan ini akan diwartakan di bawah Ordinan Tanah bagi tujuan rizab perkampungan untuk rakyat.

Bagaimanapun, Ariffin berkata beberapa kawasan lagi seperti Kampung Bobotong dan Kampung Kilugu di Tongod tidak termasuk dalam cadangan pembubaran kali ini atas sebab-sebab teknikal.

Pindaan Rang Undang-Undang ini turut membolehkan penubuhan lapan kawasan hutan simpan kekal negeri yang baharu dengan keluasan berjumlah 2,154.372 hektar bagi menggantikan kawasan-kawasan yang telah dikeluarkan itu.

Sementara itu, seramai tujuh Adun menyertai dalam perbahasan Rang Undang-Undang ini sebelum diluluskan.-SabahNewsToday