Pilih Bahasa

Dun Sabah lulus pindaan Enakmen untuk tambah ahli LPPS

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri Sabah meluluskan Rang Undang-Undang penambahan ahli Lembaga Pelabuhan Pelabuhan Sabah (LPPS) untuk menambah kecekapan pentadbirannya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony ketika membentangkan penggulungan perbahasan RUU tersebut berkata pindaan itu perlu dilakukan bagi memperkasakan struktur organisasi serta membolehkan pengurusan pentadbiran LPPS dikendalikan dengan lebih teratur dan berkesan.

Datuk Peter Anthony (dua kanan) bersama Dr Yusuf dan Ewon (kiri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata Seksyen-seksyen yang akan dipinda ialah seksyen 5(1)(c) dan seksyen 5(1)(c)(i) Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981 yang merangkumi lima ahli lain iaitu terdiri daripada tiga orang berpengetahuan atau berpengalaman dalam bidang perkapalan dan perkara berhubung dengannya.

“Dengan terpindanya Seksyen 5(1)(c) dan 5(1)(c)(i) Enakmen Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah 1981, maka Lembaga Pengarah LPPS dianggotai tujuh ahli lain, lima ahli berpengalaman atau berpengetahuan dalam bidang perkapalan dan perkara berhubung dengannya.

“Pindaan ini membolehkan bilangan ahli lain/biasa yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam bidang pelabuhan dan perkapalan dalam LPPS akan bertambah,” katanya.

Peter berkata penambahan dua ahli yang berpengetahuan itu dilihat sebagai kelebihan dan akan dapat membantu Lembaga Pengarah LPPS untuk membangunkan pelabuhan dengan lebih berkesan pada masa depan.

Bagaimanapun katanya Rang Undang-Undang itu turut melibatkan perbelanjaan tambahan yang jumlahnya belum dapat ditentukan sekarang.

LPPS merupakan sebuah badan berkanun negeri seperti yang tersenarai di bawah Jadual (Seksyen 2) Enakmen Badan-Badan Berkanun (Peruntukan-Peruntukan Tambahan) (No 9 Tahun 1997).

Agensi itu bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Infrastruktur Sabah dan telah ditubuhkan di bawah Seksyen 4 Enakmen LPPS 1967 (dimansuhkan dan diganti dengan Enakmen LPPS 1981). – SabahNewsToday