Pilih Bahasa

Dun Sabah luluskan pindaan ganti ‘Central Board’ kepada Majlis Perancang Negeri

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Ordinan Perancangan Bandar dan Desa untuk menggantikan Lembaga Pusat Perancangan Bandar dan Desa dengan Majlis Perancang Negeri (MPN).

Pindaan tersebut memperuntukan keanggotaan anggota MPN dan menjadikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri sebagai Pengerusi Majlis dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengannya.

Jaujan (tengah) mendengar sesuatu yang diperkatakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah bermula. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Terdahulu Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong ketika membentangkan penggulungan perbahasan RUU tersebut berkata enakmen itu akan mula berkuatkuasa pada 12 Disember 2019.

Menurut Jaujan pindaan Rang Undang-Undang itu perlu bagi membolehkan hasrat kerajaan mempercepatkan proses kelulusan pelan pembangunan berkaitan melalui penurunan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya Lembaga Pusat Perancangan Bandar dan Desa akan digantikan dengan satu entiti baharu iaitu MPN yang akan dipengerusikan oleh menteri yang bertanggungjawab terhadap perancangan bandar dan desa.

“Peranan MPN untuk menggubal polisi perancangan diperingkat tinggi pembangunan fizikal negeri Sabah. Sementara iru PBT pula berfungsi sebagai Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) yang mana semua kuasa memproses dan meluluskan pelan pembangunan akan dilaksanakan berdasarkan kaedah yang telah ditetapkan kerajaan,” katanya.

Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menambah pindaan yang dicadangkan dalam Rang Undang-Undang Enakmen Perancang Bandar dan desa (Pindaan) 2019 (selepas ini dirujuk sebagai Enakmen Pindaan) adalah untuk memperbaiki kedudukan yang ada sekarang.

Selain itu katanya ia juga bagi menempatkan subjek Pembangunan Tanah di negeri ini sebagai satu agenda yang mendapat perhatian oleh Ketua dan Anggota Pentadbiran Negeri Sabah.

“Melalui pindaan Rang Undang-Undang ini kepincangan dalam keberkesanan pembangunan tanah di Sabah akan dapat diatasi dan sejurus itu akan dapat melonjak ke tahap lebih berkesan sejajar dengan Halatuju Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu semasa membahaskan Rang Undang-Undang itu Datuk Abidin Madingkir (Upko-Paginatan) berkata dengan pemansuhan itu masalah birokrasi berkaitan pembangunan tanah dapat diatasi pada kadar segera.

Datuk Jahid Jahim (PBS-Tamparuli) pula memuji langkah pindaan Rang Undang-Undang itu yang dilihat memberi kelebihan dan faedah dalam mempercepatkan tempoh maklum balas yang dikemukakan oleh pemaju.

Dalam erti kata lain, jelas beliau kementerian berkaitan boleh memberikan tempoh masa tertentu dan mengelak melengahkan masa. – SabahNewsToday